Di Sebalik Tangan-Tangan Kita Berpegangan


Tangan-Tangan Kita Berpegangan I, II dan III adalah gugusan tiga puisi pendek yang aku hasilkan sepanjang minggu ini. Ianya berkisar tentang seorang anak kecil yang bapanya aku kenali, sebagai pesakit yang pernah aku ikuti perkembangannya semasa posting Psychiatry beberapa tahun dulu.
Aku terinspirasi mengangkat kisah hidup anak-beranak ini ke dalam puisi kerana mereka adalah contoh sebuah keluarga yang pada pandangan aku malang, tetapi istimewa. Si bapa mengalami tekanan mental yang teruk akibat kemalangan motosikal yang menyebabkan isterinya terbunuh digilis treler di depan matanya sendiri. Beliau mengalami kesan trauma (istilah psikiatrinya Post Traumatic Stress Disorder) yang berpanjangan sehingga terpaksa berhenti kerja kerana sering dihantui peristiwa yang menyayat hati tersebut, selain menanggung rasa bersalah mengakibatkan kemalangan berlaku.
Si anak, berusia sekitar 7-8 tahun, adalah anak tunggal dalam keluarga dan terpaksa menanggung kehilangan ibu pada usia muda di samping melihat si bapa terus terjejas kesihatannya. Aku pernah berjumpa dengan beliau semasa bapanya datang mendapatkan rawatan dengan ditemani neneknya. Dari matanya, aku nampak cahaya keyakinan dan keredhaan. Beliau seorang kanak-kanak yang bijak dan tabah, dan lebih matang dari usia sebenarnya.
Aku tak tahu apa yang berlaku kepada dua beranak itu sekarang. Harap-harapnya kesihatan si bapa telah pulih (walaupun pada kali terakhir aku bertemu dengannya keadaan beliau agak serius) dan si anak dapat meneruskan hidup dengan lancar dan terjaga.
Keseluruhannya, proses menghasilkan gugusan sajak ini menuntut masa dan kekuatan empati. Tak mungkin aku dapat menggambarkan perasaan sebenarnya anak kecil yang kematian ibu dan perlahan-lahan kehilangan bapa pula. Kisah ini akan kekal sebagai sebuah lagi cebisan hidup insan lain di dunia yang memberi impak mendalam dalam diri aku.
Popularity: 75% [?]
27 Komentar di “Di Sebalik Tangan-Tangan Kita Berpegangan”