Kisah Boss Kapal Terbang Dan Kajol
Suaranya kedengaran sehingga ke bilik rundingan yang terletak di antara wad lelaki dan perempuan. Tak berhenti-henti bercakap dengan nada yang lantang. Mungkin bisnesnya laku hari ini.
“Doktor, doktor! Sini sekejap!”, jerit seorang lelaki Melayu lewat 30-an, semasa aku mula melangkah masuk ke wad. Berada bersamanya beberapa orang lagi penghuni yang sedang duduk di ruang santai di sudut kiri wad. Semuanya sedang asyik menonton televisyen atau mungkin juga hanyut dalam dunia khayalan masing-masing. Langsung tak mempedulikan kedatangan aku. Kecuali seorang lelaki ini.
“Doktor, nak beli saham tak? Hari ni BSKL banyak untung. Rugi kalau doktor tak beli sekarang. Esok mungkin pasaran jatuh balik. Belilah doktor. Cepat kaya nanti”, terang lelaki itu laju, bak bertih jagung. Pergerakan badannya galak. Sekali pandang seperti jurujual yang bersungguh-sungguh mahu menjual produknya.
Aku mengajaknya duduk di meja berhampiran kaunter. Lelaki yang tak berbaju dan berjambang kasar itu menuruti saja. Di situ, aku memulakan sesi penilaian untuk hari tersebut. Pelbagai soalan ditanya untuk melengkapkan fail pesakit. Sesekali lelaki itu memotong pertanyaan aku dan memujuk aku untuk membeli saham lagi. Terpaksa aku melayan kerenahnya sebentar sebelum meneruskan agenda utama aku. Lebih kurang 15 minit kemudian, urusan pun selesai.
“Doktor, kalau takde duit nak beli saham, saya boleh tuliskan cek untuk doktor. Cakap je berapa juta doktor nak, saya boleh bagi. Saya boss besar company jual kapal terbang!”, tawar lelaki itu sambil menulis sesuatu di atas sekeping carikan kertas lalu menghulurkannya kepada aku.
“Nah, ambik ni. Kalau tak cukup, esok saya boleh tambah”, sambungnya lagi.
Aku melihat ‘cek’ yang baru aku terima itu. Cuma ada coretan cakar ayam yang tak difahami. Dan belum pun sempat aku bergerak untuk menilai penghuni lain, lelaki itu sudah pun menemui ‘pelanggan’ baru: Jururawat yang bertugas di kaunter.
Aku cuma mampu tersenyum melihat gelagatnya. Untuk seseorang yang belum tidur selama hampir 3 hari, ’semangat keusahawanan’ lelaki itu sangat mengagumkan!
_________________________________________________________
Sejak beberapa hari lepas, seorang ‘aktres terkenal’ menjadi penghuni wad perempuan. Auranya ‘menyerlahkan’ suasana wad yang kebanyakan masanya agak sunyi dan suram.
“Hi Johnny Boy! How are you? You look handsome lah today”, tegur seorang wanita India lewat 40-an sambil tersengih, menampakkan susunan giginya yang jarang-jarang. Wajahnya disolek tebal. Rambutnya yang merah diinai dibiarkan lepas dan sehelai skaf bercorak bunga merah terang diikat di kepalanya.
“I’m fine. How about you, Kajol?”, aku membalas tegurannya.
“Oh! I’m feeling great, Johnny Boy!”, Kajol menjawab dengan terujanya. Matanya terus bersinar kegembiraan. Diajaknya aku berbual, seperti biasa. Sekali-sekala, terpacul kata-kata yang boleh dikatakan menggoda dari mulutnya. Aku hanya ketawa dan kadangkala memberi amaran supaya jangan berbuat demikian lagi. Namun, Kajol tak menghiraukannya.
Begitulah Kajol. Telah 2-3 kali dia dimasukkan ke wad. Semua kakitangan wad sudah masak dengan kerenahnya. Takkan menyahut sekiranya dipanggil dengan nama asalnya. Hanya memberi respon bila dipanggil dengan nama aktres kesayangannya, Kajol. Selain daripada itu, semua kakitangan lelaki, termasuk doktor pakar, akan dipanggilnya Johnny Boy. Bila ditanya siapa Johnny Boy sebenarnya, Kajol akan tersipu-sipu malu lalu menyebut ‘my boyfriend’.
“Johnny Boy, I miss you lah, dear!”, rengek Kajol lagi. Aku buat layan tak layan saja. Lama-lama Kajol akan berhenti sendiri.
________________________________________________________
Kedua-dua kisah di atas adalah pengalaman sebenar aku semasa menangani pesakit-pesakit wad psikiatrik di sebuah hospital di pantai barat Semenanjung sekitar tahun 2005. Banyak lagi pengalaman yang mencuit hati sepanjang aku di sana. Tak kurang juga pengalaman yang menakutkan. Mungkin kalau ada masa nanti aku akan bercerita lagi.
Sebenarnya entri kali ni adalah untuk memenuhi permintaan Pa’chik yang mahukan aku menjelaskan berkenaan satu kondisi psikiatrik iaitu manic depression (atau istilah barunya bipolar disorder). Mulanya aku nak terus huraikan secara akademik saja tapi memandangkan ia akan membuatkan blog aku nampak serius dan membosankan, maka aku buatlah dulu dalam bentuk penceritaan tentang dua orang pesakit bipolar disorder yang masih aku ingat.
Okay tak Pokcik? Anggap jelah ini mukadimahnya. Nanti esok lusa, Insya Allah aku sambung lagi. Lagipun kalau nak cerita dari A sampai Z tentang bipolar disorder, tentu berjela panjangnya. Dengan adanya entri pengenalan macam ni, sekurang-kurangnya aku tahu apa yang hang (dan orang lain) nak tahu daripada feedback yang aku dapat. So, senang sikit aku nak jelaskan lebih spesifik nanti. Orait? Oraiittttt!
Popularity: 36% [?]
32 Komentar di “Kisah Boss Kapal Terbang Dan Kajol”